Tuesday, June 28, 2011

Di Sini Bermulanya Zina


 
            Kelihatan Mia dan Ella sedang nyenyak tidur sejak pulang dari pusat membeli-belah pada petang tadi. Sazzy pula sedang berbaring sambil mendengar lagu melalui telefon bimbitnya. Aku hanya duduk tersandar pada dinding dan fikiranku melayang teringat akan kejadian yang berlaku sewaktu kami berempat keluar bersama.
            Suasana sesak di Pusat Membeli-belah Jaya Jusco yang terletak di Seberang Perai pada setiap hujung minggu sudah menjadi perkara normal yang tidak perlu dihairankan lagi. Kompleks tersebut dibanjiri ramai orang, terutamanya daripada kalangan para remaja sama ada mereka yang masih bersekolah mahu pun mereka masih yang menuntut di IPT.
            Di setiap laluan, bersepahan pasangan kekasih yang berjalan sambil berpegangan tangan dan saling berpelukan tanpa secebis rasa malu terhadap orang di sekeliling mereka. Mereka kelihatan bebas bermesra-mesraan dan bersentuhan tanpa segan silu. Mereka seolah-olah bangga dengan perlakuan mereka yang ternyata menjelikkan itu.
            Terdapat kejadian yang kurang menyenangkan tatkala aku dan tiga lagi sahabatku menaiki eskalator untuk ke tingkat tiga pusat membeli-belah tersebut. Di hadapan kami terdapat sepasang kekasih dalam lingkungan umur 15 hingga 17 tahun rancak melakukan adegan romantis antara mereka. Si gadis menggesel-geselkan badannya ke badan si jejaka. Si jejaka pula apa lagi, aku melihat tangannya merayap-rayap ke setiap inci tubuh si gadis. Akhirnya, bibir si jejaka hinggap pada leher si gadis tanpa rasa segan. Si gadis pula sekadar merelakan sambil ketawa manja. Adegan tersebut berlaku dalam sekelip mata. Aku menundukkan pandanganku. Astaghfirullah! Astaghfirullah! Astaghfirullah! Terdetik rasa terkilan dalam lubuk hati ini dengan perlakuan pasangan sejoli itu.
            “Sabarlah,Iqa. Biasalah tu. Budak mentah la katakan. Baru belajar-belajar nak kenal dunia,” Mia bersuara.
            “Ala, mereka tu budak sekolah lagi. Baru nak berjinak-jinak dalam dunia percintaan,” tambah Ella.
            “Cinta monyet la katakan. Budak-budak zaman sekarang. Hmm..” keluh Sazzy sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
            Mia, Ella dan Sazzy merupakan sahabat yang benar-benar memahami diriku. Mereka tahu bahawa aku memang tidak gemar dengan situasi yang berlaku sebentar tadi. Aku hanya mampu tersenyum.
            “Iqa... Iqa.. Iqa..” Sazzy memanggilku berkali-kali. Lamunanku terus terhenti begitu sahaja. Namun, aku masih tidak faham dengan situasi yang berlaku. Sazzy seakan-akan faham. Dia memuncungkan mulutnya ke arah telefon bimbitku yang terletak di atas meja belajar. Aku meluru mendapatkan telefon bimbitku untuk segera menjawab panggilan telefon yang entah daripada siapa.
            “Assalamualaikum,” kedengaran suara garau seorang lelaki di corong telefon. Suara yang begitu aku kenal. Itulah suara Faez, rakan sekuliahku.
            “Waalaikumussalam,” aku menjawab pendek.
            “Iqa... Awak tengah sibuk ke?”
            “Tak lah... Kenapa?”
            “Tak ada apa-apa. Saja nak berbual dengan awak,” jawab Faez ringkas.
            “Oh...” aku kematian kata-kata. Sejujurnya, aku tidak berapa senang dengan panggilan telefon itu. Ternyata Faez sekadar ingin berbual-bual kosong denganku. Bukan aku tidak suka, cuma aku tidak mahu sebarang masalah berkaitan hati dan perasaan lahir antara kami. Cukuplah kami menjadi teman sekuliah.
            Sejak masuk ke alam universiti, aku telah bertekad untuk tidak akan melibatkan diri dalam dunia percintaan. Aku tidak mahu masalah tersebut mengganggu tumpuanku terhadap pelajaran. Aku juga tidak mahu maruahku tergadai begitu sahaja gara-gara hanyut dalam dunia percintaan yang tidak berpenghujung.
            Kata orang, alam universiti merupakan masa yang paling sesuai untuk mencari pasangan hidup. Mungkin benar dan mungin tidak. Bagiku, hal ini bergantung kepada penilaian setiap individu. Walau bagaimanapun, aku sama sekali tidak pernah bersetuju dengan pernyataan tersebut. Hal ini demikian, percintaan dan pelajaran adalah dua dunia yang berbeza. Sekiranya disatukan, pasti akan menimbulkan pelbagai cabaran dan dugaan yang sukar untuk diharungi. Tidak mustahil sekiranya ada yang mampu mengharunginya dengan hati yang tabah dan berakhir dengan kejayaan serta kebahagiaan. Mungkin hanya seorang dalam seribu orang. Namun demikian, kebanyakan yang menempuh dua dunia ini secara serentak selalunya akan terkandas sebelum sampai ke pengakhirnya. Paling tidak, sesetengah individu terpaksa mengorbankan salah satu daripada dua dunia tersebut untuk berjaya.
            Sekiranya mereka memilih alam pelajaran, mahu tidak mahu mereka terpaksa mengorbankan kekasih yang kononnya dicintai sepenuh hati. Percintaan mereka sudah semestinya berakhir dengan kekecewaan. Sebaliknya, sekiranya mereka lebih mementingkan alam percintaan, sudah tentu alam pelajaran akan terabai. Mungkin mereka tidak ada niat untuk mengetepikan pelajaran, tetapi pelajaran mereka akan tetap terjejas disebabkan mereka hanyut dalam arus percintaan. Mana tidaknya, mereka hanya akan terfikir akan kekasih hati dan tidak dapat menumpukan sepenuh .perhatian terhadap pelajaran. Akibatnya, masa hadapan mereka kian gelap dan harapan ibu bapa akan terkubur begitu sahaja. Golongan ini tetap dianggap berjaya, tetapi hanya dalam dunia percintaan.
            Kedengaran suara Faez memanggil-manggil namaku berkali-kali.
            “Ya,saya. Maaf,” jawabku ringkas. Aku menyahut demi menjaga hatinya. Aku tidak mahu dilabelkan sebagai seorang gadis yang sombong dan tidak berbudi bahasa.
            “Iqa... Maaf kalau-kalau saya menganggu awak,” kata Faez. Aku hanya berdiam diri. Tidak tahu apa lagi yang perlu dibicarakan.
            “Seronok tak masuk makmal dan kali pertama buat ubat tadi?” Faez cuba memancingku untuk memeriahkan perbualan kami.
            “Seronok. Cuma agak cuak sebab kesuntukan masa. Takut ubat tak sempat siap,” jawabku. Sekali gus aku teringat betapa aku tergesa-gesa menyiapkan ubat yang dikehendaki oleh pensyarah sewaktu berada dalam makmal farmaseutik. Mujur sempat, kalau tidak pasti markah praktikal aku sewaktu dalam makmal tersebut tidak akan diambil kira. Kini, baru aku sedar betapa rumitnya bidang farmasi yang aku ceburi setelah dua semester berada di UiTM Pulau Pinang ini. Ini baru peringkat diploma, belum lagi ijazahnya. Masih banyak lagi perkara yang perlu aku kuasai untuk menjadi ahli farmasi yang berjaya.
            “Biasalah... Kita masih baru dengan semua ni. Lama-lama nanti, okeylah,” balas Faez. Aku sekadar mengangguk, padahal bukannya Faez nampak perlakuan aku. Aku tersenyum sendiri memikirkan tindakan bodohku sebentar tadi.
            “Saya minta diri... Ada hal sebentar,” aku memberanikan diri untuk memutuskan talian.
            “Baiklah. Selamat malam, Iqa,” ucap Faez.
            “Assalamualaikum,” ucapku.
            “Waalaikumussalam.”
            “Bergayut dengan siapa tadi, Iqa?” soal Sazzy selesai sahaja aku mematikan panggilan.
            “Faez, rakan sekuliah aku,”  jawabku ringkas.
            “Dia suka kau,kan?”
            “Entah. Tapi aku tak suka dia.”
            “Habis,kau suka siapa?”
            “Tak ada siapa-siapa. Selamat malam,” kataku lantas bangun mematikan lampu tanda ingin tidur.
            Sebenarnya, mataku belum mengantuk lagi. Aku sengaja mematikan lampu agar Sazzy lekas-lekas tidur dan aku tidak perlu lagi bersoal jawab dengannya perihal Faez.
Tiba-tiba, telefon bimbitku berdering menandakan ada yang menghantar SMS.
            “Saya rindu awak. – Faez”
            Aku hanya mengabaikan SMS sebentar tadi. Beberapa minit kemudian, telefon bimbitku berdering lagi. Aku membaca SMS yang diterima.
            “Sy dh jatuh cinta dgn awk. – Faez
            Aku tidak berpuas hati dengan tindakan Faez menghantar SMS sedemikian. Aku membalas SMS tersebut.
            “Silap hantar SMS ke? – Iqa”
            “Sy rsa sy dh hantar kpd org yg betul, Cik Iqa bt Ilyas. – Faez”
            “Sy x dpt trima tindkn awk. -  Iqa”
            “Tapi sy btul2 ikhlas nk kwn dgn awk. – Faez”
            “Sy ikhlas utk berkawan tanpa perasaan cinta. – Iqa”
            “Sy nk jadikan awk kekasih sy. Bolehkan,Iqa? – Faez”
            “Sy blum bersedia utk punya kekasih. Maaf. – Iqa”
            “Kenapa? – Faez”
            “Tak perlu tahu. Tapi sy ada sbb yg tersendiri. – Iqa”
            “Sbb sy tak kacak mcm org lain dan tak layak utk awk,kan? – Faez”
            “Jgn buat andaian kalau tak tahu apa-apa. – Iqa”
            “Sy minta penjelasan awk. Sy hrp awk faham, Iqa. – Faez”
            “Sbb sy tak nak bercinta. – Iqa”
            “Tapi, kenapa?Sy mohon kjujuran awk, Iqa. – Faez”
            “Sbb sy x cintakan awk. Selamat malam. – Iqa”
            “Sy akan tunggu,awk. Selamat malam,sayang. – Faez”
            Aku hanya membiarkan SMS Faez tidak berbalas. Aku cuba untuk melelapkan mata tetapi gagal. Rasa serba salah terhadap Faez menyelubungi diriku. Aku bingkas bangun, menuju ke meja belajarku lalu menyalakan lampu meja. Aku mencapai sebatang pen dan sehelai kertas di dalam laci meja tersebut.
Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh...
Faez,
            Saya mohon maaf kerana menolak cinta awak. Buat masa sekarang, harapan  ibu bapa yang bersusah payah menghantar kita untuk belajar di sini lebih menjadi keutamaan berbanding soal percintaan. Saya tidak sanggup melihat harapan mereka terkubur begitu sahaja gara-gara saya hanyut dalam dunia percintaan.
            Saya sendiri takut untuk melangkah ke dunia percintaan. Takut untuk bergelar kekasih kepada seseorang. Fitrah manusia, untuk menyayangi dan disayangi. Tidak dapat dinafikan yang kita punya keinginan untuk dibelai dan membelai. Saya takut diri saya ini bakal tertunduk dengan hasutan syaitan untuk terpengaruh dengan nafsu dunia. Mungkin sekarang saya katakan tidak kepada pergaulan bebas yang sering berlaku antara pasangan kekasih kini. Hal ini demikian, dengan pergaulan bebas itulah bermulanya zina dan dengan bermulanya zina itulah bermulanya jenayah seperti pembunuhan dan pembuangan bayi. Namun, iman manusia boleh bertambah dan berkurang. Kata orang, cinta itu buta. Manusia sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Tidak mustahil andai suatu hari nanti saya bakal mengikut jejak langkah mereka. Nau’zubillahi min zaliq... Justeru, jalan terbaik adalah mengelakkannya.
            Dalam al-Quran juga telah menekankan berkenaan  larangan menghampiri zina. Golongan ini belum berzina, tetapi telah menghampirinya dengan perkara-perkara yang menjurus ke arah zina. Misalnya, bersentuhan, berpegangan tangan, berpelukan, berciuman dan akhirnya berzina. Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada golongan tersebut. Pastinya dimurkai Allah. Selain itu, hal ini akan bersangkutan dengan keberkatan hidup kita kelak. Bagaimana kita dapat memperolah kejayaan sekiranya Allah tidak memberkati hidup kita? Saya khuatir sekiranya pelajaran saya akan merosot apabila saya terlibat dalam percintaan. Saya tidak mahu terus hidup dalam dunia yang serba leka dan melalaikan ini. Selagi boleh elak, saya akan cuba elakkan.
            Tambahan pula, saya akan cuba memperbaiki kekurangan yang ada pada diri ini untuk menjadi insan yang lebih baik. Allah telah berjanji dalam al-Quran bahawa perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya. Saya mendambakan seseorang yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup saya. Justeru, saya akan berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk mendapatkan insan yang terbaik itu.
            Oleh itu, keputusan saya untuk tidak menjalinkan sebarang hubungan percintaan dengan awak pada masa ini adalah muktamad. Saya harap awak faham dan menerima keputusan saya dengan hati yang terbuka. Saya juga berharap agar kita boleh bersahabat seperti biasa. Insyaallah, sekiranya kita ditakdirkan bersama, pasti ada jodoh antara kita kelak. Berdoa dan bertawakallah kepada-Nya. Sekian.
Sahabatmu,
Iqa binti Ilyas
            Aku melipat lembaran kertas tersebut lalu memasukkan ke dalam sampul surat. Aku nekad untuk menyerahkan surat tersebut kepada Faez esok. Apa sahaja reaksi Faez selepas membaca isi surat tersebut akanku terima dengan hati yang terbuka.
            Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Aku mengambil wuduk lalu menunaikan solat sunat taubat dan solat sunat istikharah sebelum masuk tidur. Aku memohon agar Allah mempermudah segala urusanku di dunia ini dan memberikan aku petunjuk untuk menentukan yang terbaik dalam hidupku.
~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*~*
            Selesai sahaja kuliah pada tengah hari itu, aku menuju ke kafetaria untuk berjumpa dengan Mia, Ella dan Sazzy. Kami sudah berjanji untuk makan tengah hari bersama. Walaupun aku dengan mereka berlainan jurusan, kami selalu menghabiskan masa bersama. Aku lebih rapat dengan mereka berbanding rakan-rakan yang mengambil jurusan yang sama denganku.
            Setelah hampir lima belas minit menunggu, akhirnya aku melihat kelibat mereka di pintu kafetaria. Aku melambai-lambai ke arah mereka. Alangkah terkejutnya aku kerana lambaianku dibalas oleh seseorang jejaka yang kebetulan sedang berjalan di hadapan Mia, Ella dan Sazzy. Dialah Faez bin Salleh. Aku melihat dia meluru ke arahku. Betapa tidak keruannya aku tatkala itu. Mia, Ella dan Sazzy masing-masing tercengang memerhatikan tindakan Faez.
            “Hai, Iqa,” sapa Faez. Entah bila dia berdiri betul-betul di hadapanku. Aku hanya mengukir senyuman lalu menundukkan pandanganku. Aku tidak sanggup untuk bertentang mata dengannya. Kata orang, dari mata turun ke hati. Aku tidak mahu adanya cinta yang bertandang antara kami.
            “Seorang saja?” Faez bersuara apabila aku hanya mendiamkan diri. Aku mengangguk. Hatiku berharap agar Faez cepat-cepat berlalu pergi. Aku risau kalau-kalau ada yang salah faham dengan pertemuan kami.
            “Boleh kita makan berdua? Saya temankan awak,” Faez menyuarakan keinginannya. Aku mengangkat muka dan memandang tepat ke wajahnya. Pastinya aku enggan. Aku tidak mahu disamakan seperti pasangan-pasangan kekasih yang sedang makan bersama sambil bermesra-mesraan di kafeteria itu. Aku ingin menjadi seseorang yang lain. Seseorang yang pandai menjaga maruah diri dan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Seorang wanita yang istimewa di mata seorang lelaki yang soleh.
            Tiba-tiba, aku terdengar seakan-akan bisikan halus yang membisik terus ke hatiku, “Iqa, peluang sudah ada di depan mata. Apa kau tunggu lagi? Dia benar-benar mencintaimu. Tidak salah sekiranya kau berdua-duaan dengannya. Tidak semua orang dapat merasakan nikmat itu.”
            Aku terbayangkan kebahagiaan hidup pasangan-pasangan kekasih. Sekiranya punya kekasih, pasti ada yang mengambil berat, menghiburkankan hati, berkongsi masalah dan segalanya yang indah-indah belaka. Lagi pun, pernah juga aku terjatuh hati pada Faez tetapi cepat-cepat aku ketepikan perasaan itu agar tidak mengganggu tumpuanku terhadap pelajaran. Terdetik di hatiku, apa salahnya aku bercinta?
            “Iqa, dah lama tunggu? Maaflah, tadi kami ke perpustakaan sebentar untuk pulangkan buku,” Mia menegurku. Lamunanku terhenti serta-merta. Apa yang aku fikirkan tadi? Astaghfirullahala’zim... Aku menundukkan pandanganku. Faez masih tercegat di hadapanku.
            “ Jom makan. Dah lapar ni,” Sazzy bersuara. Aku memalingkan muka ke arahnya sambil mengukir senyuman.
            “Jom,” hanya perkataan itu yang terkeluar dari mulutku. Aku menarik tangan Sazzy. Mia dan Ella mengekori kami dari belakang.
            “Err.. Iqa,” Faez memanggilku. Aku sedar bahawa tindakanku itu sekali lagi mengecewakannya.
            Belum sempat dia berkata-kata, aku bersuara, “ Maafkan saya. Saya dah janji dengan mereka.” Aku berlalu pergi.
            “Sebentar. Bagaimana kalau lain kali?” Faez masih tidak berputus asa. Aku mendiamkan diri. Langkahku terhenti. Aku membuka beg tanganku dan mengeluarkan sekeping sampul surat. Aku memberikan sampul surat tersebut kepadanya. Di dalamnya terkandung surat yang aku tuliskan untuknya semalam. 
            “Ini untuk awak. Maafkan saya,” kataku. Aku terus berjalan mendapatkan Ella yang menungguku tidak jauh dari situ. Mia dan Sazzy pula sibuk beratur untuk membeli makanan.
            “Siapa tu? Lain macam je aku tengok?” tanya Ella.
            “Nanti aku ceritakan. Jom beli makanan dulu. Aku betul-betul lapar. Dah la naik berjanggut aku tunggu kau orang tadi.”
            Selepas makan tengah hari, kami pulang ke bilik untuk solat Zuhur. Setelah itu, kami hanya berehat di dalam bilik memandangkan kuliah dibatalkan kerana semua pensyarah terpaksa menghadiri seminar pada petang itu. Masing-masing terbaring di atas katil, menunggu masa untuk melelapkan mata. Bukan selalu kami mendapat peluang yang sedemikian.
            “Iqa, kau cakap nak cerita,” Ella mengingatkan aku tentang kejadian yang berlaku di kafetaria tadi.
            “Cerita apa ni? Macam panas je aku dengar,” Mia mencelah.
            “Ni mesti pasal mamat kat kafetaria tadi,kan?” Sazzy pula cuba menyerkap jarang.
            “Dialah Faez,” jawabku pendek.
            “Rakan sekuliah yang telefon kau malam tu?” Sazzy menginginkan kepastian. Aku hanya mengangguk.
            “Apa dia nak daripada kau?” soal Mia ingin tahu.
            “Aku nampak dia macam sukakan kau la, Iqa,” Ella mengagak.
            “Tunggu apa lagi, Mia?” Sazzy tersenyum nakal.
            “Kau orang tahu aku,kan?” Aku agak kurang senang dengan kata-kata Sazzy.
            Melihat wajahku berubah, Sazzy memohon maaf kepadaku, “Maaflah, Iqa. Aku gurau je. Saja nak memeriahkan suasana yang agak tegang ni.”
            “Tak apa. Tapi, itulah masalah aku sekarang. Dia nak aku jadi kekasih dia,” aku mula membuka cerita tentang Faez.
            “Kau terangkanlah pada dia elok-elok. Kalau betul dia cintakan kau, dia pasti faham,” nasihat Mia.
            “Aku serba salah dengan dia. Dia ingat aku tak terima dia kerana kekurangan yang ada pada dirinya,” luahku.
            “Mungkin dia tak betul-betul faham lagi. Jangan sekadar bagi alasan padanya. Terangkan segala yang terbuku di hati kau, tegakkan prinsip kau,” kata Ella seolah-olah menyuntik semangat kepadaku.
            “Betul cakap Ella. Kau cuma tak nak terjerumus ke kancah maksiat seperti kebanyakan remaja sekarang. Kau cuba pertahankan harga diri kau selagi kau mampu. Niat kau mulia,Iqa. Janganlah kau serba salah,” kata Sazzy yang cuba meyakinkan aku.
            Entah mengapa aku teringat akan bisikan yang aku dengar sewaktu di kafetaria tadi. Air mataku bergenang. Mia yang berada tidak jauh dariku terus mendekatiku. Dia menggosok-gosok belakang badanku perlahan-lahan.
            “Kenapa ni,Iqa? Cuba kau cerita kat kami,” Mia dapat mengagak bahawa ada sesuatu yang tidak kena denganku. Ku lihat Ella dan Sazzy juga mendekatiku. Aku bercerita tentang bisikan tadi sambil menangis teresak-esak. Lahir rasa kesal kerana hampir-hampir sahaja aku mahu menerima pelawaan Faez. Mujur Mia, Ella dan Sazzy ada di situ.
            “Itulah bisikan syaitan yang ingin menggoda kita agar kita menurut kehendak hawa nafsu,” kata Sazzy.
            “Betul tu, kita sebagai hamba Allah mestilah selalu mendekatkan diri kepada-Nya agar sentiasa dilindungi daripada gangguan syaitan dan tidak bertindak mengikut hawa nafsu,” Ella mengingatkan aku.
            “Bermakna Allah masih lindungi kau tadi. Kau tak turutkan kata hati kau tadi. Kau tak keluar pun dengan Faez tu,” Mia cuba menyedapkan hatiku.
            Tidak aku nafikan kata-kata mereka. Aku bersyukur kerana Allah masih melindungi aku. Terima kasih, ya Allah!
            “Iqa, kuatkanlah semangat kau. Tabahkanlah hati menempuh segala dugaan yang melanda,” Ella sekali lagi mengingatkan aku. Aku hanya mengangguk.
            “Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah. Semoga Allah menjodohkan kita dengan pasangan yang terbaik,” kata Sazzy dengan penuh semangat.
            “Terima kasih buat kau orang semua sebab setia mendengar masalah aku, menasihatkan aku dan tak pernah jemu mengingatkan aku,” ucapku ikhlas. Mia, Ella dan Sazzy hanya tersenyum sesama sendiri. Kami saling berpelukan. Sekali lagi aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah kerana mengurniakan sahabat-sahabat seperti mereka.
            Petang itu, masing-masing tertidur termasuk diriku. Tidak sampai setengah jam aku tidur, telefon bimbitku berbunyi. Aku terjaga daripada tidur. Ku lihat skrin telefon bimbitku. Tertera nama Faez sebagai penghantar SMS.
            “Iqa, sy dh baca isi surat awk tu. Insyaallah, sy terima dgn rela hati keputusan awk tu. Baik bagi awak, baiklah bagi saya. Sy sentiasa berdoa agar Allah menetapkan jodoh antara kita. Terima kasih kerana menyedarkan sy. – Faez”
            “Terima kasih kerana memahami sy. – Iqa”
            Setelah membalas SMS Faez, aku bingkas bangun lalu mengejutkan sahabat-sahabatku untuk solat Asar. Selesai solat, aku berdoa kepada Allah. Aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana memberikan aku jalan penyelesaian untuk semua permasalahan ini. Aku memohon kepada Allah, andainya Faez benar-benar jodohku, dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, aku memohon agar ditabahkan hatiku dengan ketentuan Allah.
            Sedang aku asyik melayan perasaan, bait-bait kata yang aku baca pada satu artikel dua hari lalu berlegar-legar di dalam mindaku.
            “Wanita yang suci adalah wanita yang dijaga oleh Allah. Tidak sedikit pun Allah membenarkan mana-mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya, kerana Allah teramat mencintainya. Andai kata seseorang wanita itu bergelumang dengan cinta lelaki, di mana Allah untuk menjaganya? Allah seperti melepaskannya pada seorang manusia yang lebih banyak mengecewakannya. Jika Allah mendatangkan kesedaran dalam dirinya supaya meninggalkan cinta seorang lelaki, ini bermakna Allah mahu mengambilnya untuk dijaga oleh Allah. Justeru, mengapa masih ragu-ragu?Kekuatan tidak perlu ditunggu tetapi mestilah dicari. Hargailah sebaik-baik kesempatan yang Allah berikan. Peliharalah hatimu, duhai wanita. Serahkanlah ia pada Allah kerana itulah yang selayaknya.”
            Kini, aku lebih yakin untuk terus berpegang teguh dengan prinsipku. Aku akan berusaha sehabis baik untuk memperbaiki kelemahan diri ini kerana aku benar-benar mendambakan insan yang terbaik sebagai jodohku. Akanku pertahankan harga diri ini dengan menjaga aurat dan batas-batas pergaulan semampuku. Akanku jauhi diriku daripada terjerumus untuk melakukan zina. Akanku cuba untuk memberikan ikhtibar atau pun kesedaran kepada orang lain untuk turut mengambil langkah dalam menjauhi zina.
            Aku tidak mengharapkan apa-apa yang lain, melainkan keredaan Allah Subhanahu wa taala untuk hidupku di dunia dan di akhirat.

>Nukilan : SYEEQA<

1 comment:

MissGula2 said...

Any comment sbg penambahbaikan?!?